Selasa, 22 April 2014

DEFINISI MEMBACA


                   Membaca merupakan satu proses dan pemberian makna menerusi interaksi antara pembaca dan maklumat yang dibaca. Membaca juga ditakrifkan sebagai proses membina jambatan antara bahan yang dibaca dengan pengalaman serta latar belakang pembaca (Anderson & pearson, 1984). Menurut kamus Dewan edisi keempat 2008, perkataan ‘membaca’ membawa maksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahami makna kandungannya.

                 Robert Lado (1964), menyatakan membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisnya manakala Steinbeg (1982) mendefinisikan proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi dan tujuannya adalah memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis. Menurut Zulkifley Hamid (1994) pula, membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan, menterjemahkan kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapat makna bagi bentuk tulisan tersebut.           
                  Seterusnya, membaca boleh ditinjau dalam dua perspektif iaitu membaca sebagai proses pembentukan makna dan  membaca sebagai proses memilih dan mengambil tindakan. Dalam memahami konsep ini, seseorang itu  tidak dikatakan membaca jika tidak memahami makna perkataan bahan yang dibaca. Sehubungan itu, dalam memahami makna perkataan ia sememangnya mempunyai kaitan dengan latar belakang dan pengalaman seseorang. Hal ini kerana, pengetahuan sedia ada yang banyak dapat melancarkan proses membaca bahkan memudahkan seseorang untuk  memahami sesuatu makna bahan bacaan yang dibaca.  

TEORI PROSES MEMBACA

Model Bottom-up




       Model dari  bawah ke atas  dibincangkan oleh Gough (1972, 1985) iaitu tokoh utama teori ini. Model ini menyatakan individu memulakan proses membaca apabila matanya mengenal pasti maklumat visual yang tertera dalam teks yang dibaca melalui satu siri perlakuan yang berturutan. Maksudnya, makna itu berasal dari bawah (teks) menuju ke atas (otak/kepala). Secara harfiah, menurut teori ini teks-lah yang menentukan pemahaman.
        Berdasarkan dapatan pemerhatian, tumpuan mata pembaca ke atas teks menghala pada maklumat secara relatif. Proses membaca bergerak secara linear, iaitu dimulai dengan mengecam huruf, mengekodkan pada tahap fonem, mengecam perkataan-perkataan dan akhirnya hubungan sintaksis dan semantik. Hal ini bermakna, maklumat yang baru diterima sebelum itu ditransformasikan dan direkodkan.
       Pengaplikasian dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p), pengajaran bermula dengan guru membincangkan pengalaman murid tentang sesuatu isu. Pengalaman murid dicungkil bagi menimbulkan minat mereka. Guru seterusnya membincangkan isu-isu berkaitan dengan topik perbincangan. Setelah perbincangan dilaksanakan, barulah guru mengagihkan teks untuk dibaca. Murid membaca teks dan mengaitkan isi teks dengan topik perbincangan yang telah dijalankan.



Model Teori Top-Down

Model membaca ini berasaskan model psikolinguistik oleh Goodman  dan Smith. Model ini memfokuskan pembaca dan pergerakan bahan bacaannya masih lagi bersifat linear tetapi bergerak daripada atas ke bawah. Pembaca memainkan peranan utama semasa memahami teks yang dibaca. Pembaca menggunakan pengetahuan bahasa dan pengalaman bagi meramalkan teks dan mengurangkan kebergantungannya pada cetakan teks dan bunyi bahasa.
  • Memahami teks yang dibaca walaupun tidak mengenal setiap perkataan yang dibaca.
  • Menggunakan makna dan isyarat tatabahasa mengenal pasti perkataan yang tidak dikenali
  • Fokus utama dalam pengajaran adalah membaca ayat, paragraf dan keseluruhan bahan. Perkara penting dalam bacaan adalah jumlah dan jenis maklumat yang diperoleh ketika membaca
 Pengaplikasian dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p), pengajaran bermula dengan guru membahagiakan teks bacaan kepada murid. Murid membaca teks secara senyap ataupun secara lantang. Guru meminta pelajar memberi perhatian terhadap istilah-istilah penting dan istilah yang tidak difahami oleh murid. Guru seterusnya meminta pelajar mencari isi-isi penting dalam petikan sebelum perbincangan secara keseluruhan terhadap teks tersebut. Guru cuba mengaitkan petikan dengan pengalaman latar murid tentang tema utama, kandungan dan isu yang dibincangkan dalam petikan.



Model  Teori Interaktif




•       Model Interaktif mengandaikan membaca sebagai proses yang aktif bagi menterjemah maksud ke atas teks yang dibaca. Model Interaktif melihat proses membaca sebagai pola pusingan dengan maklumat tekstual dan aktiviti mental pembaca wujud secara serentak.
•       Tahap pemahaman pembaca ke atas teks dipengaruhi oleh minat pembaca, tujuan pembacaan dan pengetahuan pembaca terhadap teks berinteraksi dengan pemboleh ubah teks (jenis teks, sintaksis dan sebagainya).
•       Menggunakan cetakan sebagai input dan makna sebagai out put
•       Membaca adalah proses membuat tanggapan dan proses kognitif
•     Model Atas ke Bawah dan Bawah ke Atas boleh timbul secara silih berganti atau serentak bergantung kepada pemboleh ubah pembaca dan pemboleh ubah teks




Model Teori  Transactional



•       Model Transactional merujuk kepada model interaksi dua hala antara seseorang individu dengan individu yang lain. Interaksi antara individu ini boleh melibatkan medium pengantaraan seperti nota, teks dan sebagainya.
•        Membaca ialah proses membina makna daripada kombinasi pembaca tertentu, pada masa / konteks tertentu, dengan teks tertentu. Ia adalah suatu transaksi antara pengarang, pembaca, dan teks.
•       Membaca adalah "aktiviti memilih." Pembaca membawa perasaan, sikap, jangkaan, dan tujuan untuk setiap teks, dan ini membawa kepada makna, atau penimbulan.
•       Pendirian kita ke arah membaca mungkin efferent (saintifik, membaca untuk info) atau estetik (seni, perasaan). Namun demikian, pendirian pembaca yang menentukan pengalaman yang mereka akan peroleh daripada teks itu.
•       Pengajaran bacaan memerlukan seorang guru mengemukakan soalan yang berupaya menggalakkan transaksi bacaan yang lebih kompleks, dan membina dan memudah cara aktiviti-aktiviti dalam persekitaran yang menggalakkan pembaca untuk membuat makna mereka sendiri.




BELAJAR MEMBACA

Pelbagai kaedah ataupun teknik yang boleh digunakan oleh guru dalam mengajar pelajar membaca. Guru boleh menggunakan salah satu atau merangkumkan lebih daripada satu kaedah berdasarkan kesesuaian objektif pengajaran yang ingin dicapai. Antaranya seperti :

1)  Membaca bebas
  • Pelajar membaca keseluruhan bahan yang mereka pilih daripada sekumpulan bahan yang disediakan oleh guru
  •   Kaedah ini memerlukan sokongan guru yang paling minimum kerana kaedah ini digunakan bagi pelajar yang mempunyai kebolehan membaca yang baik.
  •  Guru perlu memberi arahan awal supaya pelajar membuat persediaan sebelum membaca seperti menyediakan soalan sebelum, ketika dan sesudah membaca buku tersebut.

2)  Membaca secara berkoperatif
  • Menggunakan kaedah membaca secara berpasangan sama ada berdua atau bertiga.
  • Pelajar bergilir-gilir membaca sebahagian daripada bahan bacaan secara lantang kepada rakan dalam kumpulan tersebut dan berhenti seketika untuk membincangkan apa yang telah mereka baca
  • Terdapat beberapa garis panduan yang boleh digunakan untuk menjalankan aktiviti membaca secara berkoperatif:
i)            Meninjau dan menaakul
ii)          Membaca lantang dan senyap
iii)         Meringkas dan bertindak balas



3)  Membaca dengan panduan guru
  • Kaedah ini memerlukan guru untuk memberi panduan atau mengarahkan pelajar melakukan pembacaan senyap  dan seterusnya bertanya soalan atau membantu mereka membina soalan ketika membaca bahagian yang telah ditetapkan.
  • Guru juga boleh membantu pelajar membuat telahan terhadap bahan yang telah dibaca
  • Kaedah ini digunakan apabila pelajar memerlukan sokongan dalam membina makna daripada bahan, sama ada kerana tahap kesukaran bahan ataupun kemampuan pelajar yang rendah.
  • Kaedah ini amat berguna bagi mendidik pelajar membaca kerana guru dapat memberikan sokongan atau bantuan pada peringkat awal bacaan dan mengurangkan sokongan tersebut sedikit demi sedikit.
4)  Berkongsi membaca
  • Berdasarkan prosedur ini, guru membaca lantang sesuatu cerita dan mengajak kanak-kanak bersama-sama membaca apabila mereka berasa selesa dan bersedia
  •  Kanak-kanak diberi peluang untuk bertindak balas menerusi penulisan, lukisan, drama, perbincangan dan sebagainya
  • Kaedah ini memberi peluang kepada pelajar yang lebih mahir membaca menjadi model kepada pelajar yang kurang mahir membaca.


5)  Membaca lantang

  • Membaca lantang bahan tersebut dan membincangkan kandungan bahan bersama
  • Dapat menjadikan pembaca lantang sebagai model pembaca yang sebenar
  • Guru bertindak sebagai model yang dapat diikuti pelajar pada peringkat awal bacaan
  •  Kaedah ini digunakan bagi bahan yang mengandungi terlalu banyak istilah, konsep atau perkataan yang sukar. Setelah guru membacanya dengan lantang, pelajar perlu ikut membaca secara berkoperatif atau bebas.


MASALAH DALAM MEMBACA


Masalah membaca merupakan masalah yang sangat kritikal jika tidak dibendung. Ini kerana seluruh sistem pembelajaran murid akan lumpuh andainya mereka menghadapi masalah dalam bacaan. Oleh itu, kami mengemukakan beberapa punca yang menjadi sebab berlakunya masalah ini yang dipengaruhi oleh beberapa faktor.

1.               Faktor fizikal

a)       Penglihatan
Penglihatan merupakan pancaindera yang sangat berharga. Masalah penglihatan yang dihadapi oleh seseorang akan menyebabkan kesukaran untuk mencerap imej huruf yang dipaparkan dalam bentuk bertulis. Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada ketidakupayaan membaca yang berkaitan dengan penglihatan iaitu :
·      Juling : memfokuskan kedua-dua mata ke arah yang sama sehingga imej suatu benda kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya.
·      Rabun : tidak dapat melihat pada jarak yang jauh untuk rabun dekat, manakala tidak berkeupayaan melihat jarak yang dekat untuk rabun jauh.
·   Astigmatism : penglihatan yang kabur diakibatkan kurang fokus cahaya pada salah satu atau kedua-dua hujung retina.
·        Amblyopiks : satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.

b)     Persepsi Penglihatan
Pelajar yang mempunyai persepsi yang bercelaru akan menyebabkan kesukaran untuk membaca. Sebahagian daripada simptomnya ialah :
·  Perkataan kelihatan seolah-olah satu pencampuran huruf yang tidak bermakna, seperti muzik menjadi mzuki.
·  Huruf atau perkataan menjadi terbalik seperti contoh “b” menjadi “d”, atau  “bas” menjadi “das”.
·      Jika jenis percetakan atau saiz huruf bertukar, pelajar tidak dapat mengenal pasti huruf yang sebenar.
·        Satu perkataan kelihatan seperti imej cermin.
·        Pelajar tidak dapat membezakan suku kata.

Kesemua masalah penglihatan ini perlu diketahui perbezaannya agar kanak-kanak dapat diberikan rawatan yang betul. Kebanyakan masalah tidak berkeupayaan membaca dapat diselesaikan dengan memperbetulkan aspek penglihatan kerana masalah inilah yang mengakibatkan ketidakupayaan membaca semula.


c)      Pendengaran (Auditori)
Dalam pembelajaran membaca, pendengaran yang mempunyai masalah yang teruk juga menjadi impak negatif kepada seseorang pelajar. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang ringan boleh membantu dengan teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Mereka yang mempunyai masalah pendengaran juga akan menghadapi masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. Contohnya, kanak-kanak ini tidak dapat membezakan antara vokal “a” dengan bunyi vokal “e”,”u” dengan “o” dan “i” dengan “e”.
               Kerencatan pendengaran juga terdapat dalam dua kategori iaitu kerencatan sementara dan kerencatan kekal. Kerencatan sementara boleh dirawat dengan mendapatkan rawatan doctor perubatan biasa seperti pembersihan lubang telinga atau mengambil antibiotik, tetapi kerencatan yang kekal perlu kepada rawatan pakar, sama ada rawatan jangka panjang atau memerlukan pembedahan. Guru pemulihan tidak dapat melakukan kedua-dua jenis rawatan ini. Hanya doktor perubatan dan pakar Telinga, Hidung dan Tekak (Ear, Nose and Throat-ENT) sahaja yang boleh melakukan.

d)     Pertuturan
Terdapat beberapa punca yang menjadi permasalahan dalam pertuturan. Contohnya: 
1. masalah emosi, 
2.kelewatan pertumbuhan,
3.kurang pendengaran,
4.pertumbuhan kerongkong yang tidak lengkap,
5.sumbing dan kecederaan otak atau sebahagian daripada otak. 

Melalui punca-punca ini, simpton-simpton seperti kecelaruan bunyi suara, nada yang tidak menentu, petuturan spastik dan sebagainya boleh didapati daripada pelajar. Namun, tidak semua punca masalah pertuturan ini boleh mengakibatkan masalah tidak berkeupayaan membaca. Jika ada pun, kesannya ialah kesan tidak langsung iaitu kesan psikologikal.

2.      Faktor Neurologikal
Neurologikal ialah kajian yang berkaitan dengan system saraf iaitu system saraf manusia termasuklah system dalam otak, tulang belakang, urat, ganglia (tisu urat yang pelbagai) dan sebahagian organ reseptor. Sebahagian daripada bahagian neurologi ini boleh memberikan kesan terhadap kebolehan membaca. Faktor neurologi berkaitan dengan masalah kesihatan yang diakubatkan oleh jangkitan kuman atau prakelahiran.

a)      Kerosakan Otak
Kerosakan otak boleh diakibatkan oleh kecederaan, penyakit atau kesan bahan toksik yang mencemarkan otak atau bahagian otak. Kecederaan otak juga boleh terjadi sejak lahir (pre-natal neurological disorder). Ini semua akan menyebabkan lesion atau perubahan yang luar biasa terhadap bentuk. Biasanya pengesanan terhadap kecederaan otak ini boleh dilakukan menerusi electroencephalogram (EEC), tetapi tidak semua keputusan ujian EEC bertetapan walaupun disertakan dengan kajian sejarah kelahiran.

b)      Neurologi Tidak Berfungsi
Bahagian otak yang tidak berkembang sepenuhnya atau sebahagian otak yang tertutup sebahagiannya sejak dilahirkan. Buta perkataan bagi orang dewasa juga boleh diakibatkan oleh serangan jantung, Hyperlexia ialah seseorang yang lambat perkembangan Bahasa dan akal. Simpton ini juga menyebabkan masalah tidak berkeupayaan membaca dan pembelajaran yang serius.

3. Faktor Keturunan
   Terdapat kajian yang mengatakan faktor keturunan kuat mempengaruhi kemampuan untuk belajar. Contohnya kanak-kanak kembar, kembar seiras dan kembar seibu (identical and fraternal twin), menunjukkan kemampuan yang berbeza dalam pencapaian. Kembar seiras lebih rapat hubungannya dalam pencapaian daripada kembar seibu. Begitu juga kajian yang mengaitkan pencapaian pelajar membaca dengan latar belakang keluarga membuktikan anak yang berasal daripada keluarga yang tidak tahu membaca lebih lemah dalam pencapaian membaca berbanding dengan anak yang berasal daripada keluarga yang tahu membaca.
          Namun demikian, pengaruh persekitaran juga amat penting untuk melihat pencapaian kanak-kanak. Oleh itu, beberapa perkara yang penting dalam keluarga ialah bagaimana ahli keluarga menyediakan persekitaran membaca yang banyak, minat ibu bapa terhadap kejayaan anak-anak dalam pelajaran dan model Bahasa yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak.

  4. Faktor Emosi
Lazimnya bukan emosi yang mempengaruhi kejayaan membaca tetapi kegagalan dalam membaca akan mengganggu emosi seseorang pelajar. Pelajar yang gagal membaca akan mempunyai rasa rendah diri, terasing, tidak bermotivasi, kecewa, malas, gagal dan sebagainya. Namun demikian, ada juga kanak-kanak yang mempunyai masalah  emosi yang mengganggu pencapaian mereka dalam pelajaran umumnya dan membaca khasnya, Kes penderaan, kes kanak-kanak terbiar dan kes perpecahan keluarga boleh mengakibatkan gangguan emosi kepada kanak-kanak. Kanak-kanak tertekan juga boleh menyebabkan emosi mereka terganggu.

v 5.Faktor Sosioekonomi
Status sosioekonomi (SES) kerap menjadi salah satu pemboleh ubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar untuk membaca. Kanak-kanak dari SES rendah selalunya mempunyai pencapaian yang rendah dan kanak-kanak SES tinggi selalu mendapat pencapaian yang tinggi juga. Keturunan kaum dan perbezaan budaya juga boleh mempengaruhi pelajaran dalam membaca.

PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Pemilihan bahan bacaan yang betul sangat penting dalam pembacaan. Ia perlulah bersesuaian dengan peringkat umur. Hal ini disebabkan penggunaan kosa kata yang berlainan dan berbeza mempengaruhi kefahaman terhadap seseorang mengikut peringat umurnya. Secara umumnya, bahan bacaan merangkumi buku, akhbar, majalah dan lain-lain lagi. Oleh itu, guru-guru sering menghadapi masalah dalam memilih bahan bacaan untuk pelajar.
Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu bahan bacaan fiksyen dan bukan fiksyen. Bahan bacaan fiksyen ialah bahan yang biasanya dibaca pada waktu lapang dan digolongkan dalam bahan bacaan yang ringan. Sebaliknya, bahan bacaan bukan fiksyen pula ialah bahan bacaan ilmiah dan mengandungi pelbagai maklumat yang penting di samping penggunaan Bahasa yang tinggi.

Jenis-jenis bahan bacaan

1.      Bahan Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang.
Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.
Membaca mekanis merupakan satu keterampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduks suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronounciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah keterampilan serta minat.
Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar.

2.      Bahan Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja.
Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca intensif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan membaca senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.

3.      Bahan Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan unsentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan.
Bacaan insentif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi berlainan.
Bacaan insentif boleh juga dibaca dengan dua cara. Salah satu daripadanya ialah membaca pantas. Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam.
Ini kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.
Selain daripada membaca pantas keduanya ialah bacaan imbas yang dikenali sebagai scanning adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai tinjauan. Biasanya sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.


4.      Bahan Bacaan Ekstensif
Membaca eksentif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca eksentif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca secara eksentif ini biasanya melibatkan perkara-perkara seperti membaca secara tinjauan, membaca secara sekilas dan membaca secara dangkal.


5.      Bahan Bacaan Rekreasi
Membaca rekreasi adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca yang tidak melibatkan perahan otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah untuk tujuan bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan-bahan bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang dapat merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan sastera dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.

6.      Bahan Bacaan Kritis
Bacaan kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara bijaksana, penuh ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang terdapat dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan keupayaan memahami yang tinggi.
Proses bermula dengan penggalian yang mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan kebenaran tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan alasan-alasan mengapa penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan itu.




PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA


Bagi memastikan pelajar menguasai kemahiran membaca, guru perlu menggunakan pendekatan mengajar yang sesuai. Pemilihan pendekatan ini pula perlu mengambil kira aspek kebolehan membaca pelajar, teks yang digunakan serta pengalaman pelajar.

PENGAJARAN MEMBACA ASAS

Pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar membaca beberapa kemahiran membaca yang biasa pada situasi membaca yang pelbagai seperti bagi tujuan rekreasi, mencari maklumat dan bimbingan. Pendekatan asas juga menekankan kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang sudah diajar sebelumnya. Penambahan kepada perkara yang sudah diajar dalam pengajaran membaca dapat membantu menguasai kemahiran membaca. Pola perbendaharaan kata dan ejaan perlu diperkenalkan dalam gaya yang sistematik. Perkataan dan elemen-elemen perkataan dikawal dan diperkenalkan merujuk kepada andaian bilangan perkataan yang dapat dipelajari dalam waktu tertentu.

Kaedah Pengajaran Membaca Asas
Pendekatan ini penting dikuasai tama pada peringkat awal penguasaan kemahiran membaca . Guru perlu memikirkan kebolehan pelajar serta pengalaman membaca terdahulu. Prinsip pengajarannya dinyatakan seperti pengajaran perkembangan kemahiran dan pelajaran membaca secara terarah. Pengajaran perkembangan kemahiran ialah guru menuliskan perkataan di papan hitam. Di samping itu, guru membulatkan perkataan yang mempunyai bunyi yang sama. Manakala pelajaran membaca secara terarah pula terbahagi kepada lima cara iaitu motivasi, persediaan latar belakang, menetapkan tujuan, membaca semula secara senyap ataupun lisan secara terarah, dan tindak balas dan perluasan.

Pendekatan Teknologikal
Unsur yang utama dalam pendekatan ini adalah keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan dapat dilakukan semula pada masa yang lain. Pendekatan ini menekankan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera dan dibuktikan kebenarannya. Pendekatan ini juga dilabelkan sebagai sistem membaca berdasarkan objektif, program berdasarkan kriteria, membaca berdasarkan kecekapan, sistem pengurusan kemahiran, dan membaca berdasarkan perspektif diagnostik.

Pendekatan Pengalaman Bahasa
Pendekatan ini sering digunakan kepada pelajar-pelajar terutama yang mempunyai perbezaan linguistik. Kelebihan pendekatan ini menurut Lewis (1990) adalah :
1.   Dengan menggunakan bahasa lisan pelajar dapat mencerminkan penguasaan   sintaksis dan struktur ayat.
2.  Penggunaan perbendaharaan kata menggunakan bahan bacaan berdasarkan bahasa dan pengalaman pelajar. Perkataan itu mencerminkan kandungan teks bagi memudahkan pelajar membina makna. Pelajar yang mempunyai pengalaman bahasa mudah menguasai teks. Dapatan ini menjadi pendorong kepada pembaca peringkat awal dan melahirkan sikap positif dalam membaca.
3.  Menggabungkan penulisan dalam mengarang cerita daripada pengalaman individu ataupun kumpulan.
4.   Dalam menggunakan pendekatan ini, adalah penting menggunakan keupayaan bahasa pelajar. Guru perlu tekal dalam menggunakan bahasa lisan pelajar. Apabila guru hendak menilai secara autentik, guru itu seharusnya memfokuskan kepada kiu sintaksis sebagai kemahiran membaca pada masa hadapan.
5.  Bahan seperti cerita daripada individu dapat dituliskan. Apabila kumpulan cerita itu dituliskan, perbendaharaan kata dan sintaksis dapat dikembangkan.
6.   Pendekatan ini dapat disepadukan dengan pendekatan yang lain. Guru boleh memulakan pengajaran membaca dengan pendekatan ini dan kemudian dengan memperkenalkan pendekatan berasaskan kesusasteraan.
7.   Mengikut kajian, penggunaan pendekatan ini di prasekolah bertambah secara positif (Stahl,1990).
Pendekatan ini melibatkan aktiviti belajar termasuk hubungan antara pemikiran, pertuturan, penulisan dan membaca. Guru merangsang pelajar mengenai perkara atau peristiwa. Contohnya binatang, teka kata, masalah, isu, pemerhatian individu. Di samping itu, pelajar digalakkan melahirkan secara lisan pemikirannya mengenai situasi itu. Pelahiran ini berdasarkan huraian secara situasi, analisis masalah dan cadangan penyelesaian daripada perkara yang pernah dilihat. Perkara itu ditulis oleh pelajar dan dihantar kepada guru. Perkara yang sudah difikirkan, diucapkan dan ditulis dapat dibaca dengan bermakna.

Pendekatan Membaca Individu
Melalui pendekatan ini, penekanan diberikan kepada tahap yang berbeza dalam pembacaan individu serta pelajar memilih bahan bacaannya dan mengaitkan dengan keperluan, minat dan keupayaan membaca. Guru membantu cara memilih buku dengan cara penyiringan serta menerangkan kesukaran ketika membacanya.

Pendekatan Pembacaan Lisan
Pendekatan ini sesuai kerana buku yang mengandungi bahasa yang mempunyai ciri pengulangan sesuai bagi bacaan lisan. Guru membacakan cerita kepada kelas dan pelajar mengikuti bacaan guru secara kuat. Mereka berbincang berkenaan cerita dan membacanya sekali lagi. Dalam pendekatan ini, guru memilih perkataan dan frasa secara individu serta menekankan pembacaan lisan. Bacaan secara koral atau berkorus juga digunakan secara berkesan dalam kumpulan pelajar pelbagai etnik. Penggunaan pembacaan koral juga meningkatkan pemerolehan bahasa kedua pelajar dengan mencipta persekitaran kebimbangan yang rendah, meliputi latihan pengulangan, berdasarkan kepada input yang dapat difahami, dan drama yang digabungkan.

Pendekatan Pembacaan Asas
Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian apabila guru menggunakan pendekatan ini adalah :
1.  Mengembangkan konsep latar belakang dan perbendaharaan kata sebelum membaca.
2.   Mahir mengemukakan soalan semasa membaca senyap bagi mengenal pasti dan menghapuskan kekeliruan serta bagi meningkatkan pemahaman pelajar.
3.  Penegasan lebih khusus ke atas kemahiran mendengar bahasa berbanding membaca lisan.
Pertimbangan di atas sangat penting bagi semua pendekatan membaca dan perlu apabila membina rancangan bacaan. Pelajar kadangkala bimbang apabila membaca secara kuat, terutama dalam kumpulan yang ramai. Menggabungkan pendekatan kesusasteraan dengan mengajar asas membaca dan menjadikan pengajaran lebih menarik. Penggabungan penggunaan bahan kesusasteraan dengan pembacaan asas secara sepadu sangat memberikan faedah kepada pelajar.

Pendekatan Mengajar Bacaan Peringkat Awal
Terdapat beberapa pendekatan mengajar peringkat asas iaitu :
1.  Pendekatan Binaan (Sintektik)
a.  Kaedah abjad
Murid-murid perlu dilatih menyebut dan menghafal huruf daripada ‘a’ sehingga ‘z’, kemudian murid mengeja suku kata dan perkataan, huruf-huruf yang terkandung dalam suku kata dan perkataan.
b.  Kaedah suku kata
Lanjutan daripada kaedah abjad. Penekanan diberikan kepada dua jenis huruf iaitu vokal dan konsonan. Huruf konsonan dicantumkan dengan huruf vokal bagi menjadi suku kata. Suku kata pula digabungkan menjadi perkataan. Perkenalkan dahulu kata suku kata terbuka sebelum suku kata tertutup.
c.  Kaedah fonik
Bunyi-bunyi yang berkait dengan huruf diperkenalkan terlebih dahulu dan bukannya nama huruf. Kemudian bunyi-bunyi itu digabungkan menjadi perkataan. Kaedah ini sukar dilaksanakan terutamanya dalam membunyikan huruf konsonan.
2.  Pendekatan Cerakinan (Analitik)
a.  Kaedah perkataan
Perkataan diperkenalkan dengan menggunakan kad perkataan. Sambil menunjukkan kad imbasan, minta murid menyebut perkataan itu beberapa kali. Kaedah ini menekankan makna dalam bacaan.
b.  Kaedah ayat dan cerita
Menekankan ayat sebagai unit yang bermakna dalam bacaan. Lebih menumpukan kepada bahan bacaan berbentuk cerita.


Pendekatan PEBAS iaitu Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum

Pendekatan Gabungan Bunyi Kata
Asas pendekatan berasaskan faktor berikut :
1.     Sistem ejaan bahasa Melayu bersifat fonemik.
2.     Kebanyakan suku kata bahasa Melayu mudah dan jelas.
3.      Perkataan yang mula diperkenalkan sudah difahami makna oleh murid.

Pendekatan Abjad Dan Suku Kata
1.     Murid mengenali huruf dan hubungannya dengan bunyi.
2.      Huruf konsonan digabungkan dengan huruf vokal supaya menjadi suku kata.
3.     Unit-unit kecil digabungkan dengan vokal supaya menjadi suku kata.
4.     Gunakan latih tubi sehingga kemahiran diperoleh.
5.     Pengukuhan diberikan dengan penulisan.

Prinsip Mengajar Bacaan Peringkat Awal
1. Penguasaan bahasa lisan
Pilih perkataan yang sudah ada dalam pengalaman murid dan pernah dituturkan.
2. Penglihatan
Bentuk dan nama huruf serta susunannya yang pernah dilihat memudahkan murid membacanya.
3.  Pendengaran
Latih tubi mengeja suku kata menajamkan pendengaran kanak-kanak bagi mengenali bunyi-bunyi yang sama dan berbeza dalam perkataan.
4.  Hubungan huruf dan bunyinya.
Berikan tumpuan kepada hubungan antara huruf dan bunyi dengan memberikan latihan secara intensif.
5.  Peraturan membaca kiri dan kanan
Ikut peraturan membaca tulisan rumi.
6.  Gabung jalin dengan semua aspek bahasa
Kemahiran mendengar dan bertutur dan diikuti dengan kemahiran menulis.
7.  Menimbulkan dan menghidupkan minat murid
Pilih bahan dan aktiviti yang sesuai dengan minat murid.